Speaker

YB. Speaker mempengerusi persidangan Dewan Undangan Negeri bersama Pegawai-Pegawai Parlimen


Kuasa Dewan Undangan Negeri terletak kepada Speaker. Di bawah perlembagaan, Speaker dilantik dari kalangan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri atau dari kalangan mereka yang berkelayakan untuk dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri, oleh Yang di-Pertua Negeri selepas merujuk kepada Ketua Menteri. Speaker akan memegang jawatan untuk tempoh masa seperti yang ditetapkan oleh tatacara perlantikan, kecuali beliau meletak jawatan atau perlantikan beliau dibatal di bawah peruntukan perlembagaan.

Keputusan yang dibuat oleh Speaker mengenai sesuatu hal Point of Order adalah muktamad dan tidak boleh dirayu atau dikaji semula melainkan jika dikemukakan melalui usul yang tersendiri di dalam Dewan Undangan Negeri. Speaker tidak akan membuat sebarang undi di dalam Dewan Undangan Negeri melainkan hanya untuk mengelakkan daripada persamaan undi jika wujudnya jumlah undi yang sama.

Di samping mempengerusikan sidang, Speaker adalah wakil kepada Dewan dan bertindak sebagai jurucakap Dewan Undangan Negeri. Malah Speaker adalah salah seorang daripada pemegang hak kebebasan Dewan Undangan Negeri. Selaras dengan amalan berparlimen, Speaker tidak mengambil bahagian dalam perbahasan. Tugas utama beliau ialah untuk menguatkuasakan peraturan sepertimana yang ditetapkan oleh Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat bagi mempastikan perbahasaan dan prosiding Dewan berjalan dengan lancar. Dalam mempengerusikan persidangan, beliau dikehendaki menegakkan keadilan.

Semasa ketiadaan Speaker atau apabila Speaker tidak berupaya untuk menjalankan tugas, atau jawatan Speaker masih belum diisi, Timbalan Speaker akan menjalankan tugas dan mempunyai kuasa penuh sebagai Speaker. Apabila Timbalan Speaker juga tidak berupaya untuk menjalankan tugas atau jawatan Timbalan Speaker belum diisi, Dewan boleh, melalui usul daripada seorang Menteri, memanggil mana-mana Ahli yang hadir selain daripada Ketua Menteri untuk tampil dan bertindak sebagai Speaker.


Hakcipta Terpelihara©DUNSARAWAK 2005