Sejarah Dewan Undangan Negeri

(Tapak asal tempat mesyuarat pertama Council Negri di Bintulu, Sarawak pada 8 September 1867)


Dewan Undangan Negeri Sarawak adalah dewan perundangan yang tertua di Malaysia. Ia ditubuhkan oleh Raja Muda Charles Brooke, atas arahan Raja James Brooke, melalui mesyuarat yang diadakan disebuah perkampungan nelayan kecil di Bintulu, Sarawak pada 8 September 1867.


Dewan Undangan Negeri Sarawak mula dikenali sebagai Majlis Umum (General Council) dengan jumlah Ahli dipilih seramai 21 orang. Ahli-Ahli dipilih dari kalangan ketua-ketua kaum tempatan yang difikirkan dapat membantu dalam mentadbir wilayah-wilayah di bawah jajahan Brooke yang pada masa itu hanya meliputi kawasan-kawasan persisiran.


Council Negri, kini dikenali dengan Dewan Undangan Negeri merupakan Dewan Undangan Negeri yang tertua dan terulung sekali di dalam Malaysia.


Tiga Zaman
Dewan telah menempuh tiga zaman yang penting. Zaman Rajah Putih Keluarga Brooke, diikuti dengan zaman koloni atau zaman penjajahan British dan ketiga, zaman kemerdekaannya menerusi Malaysia.
Tiga orang anggota keluarga Brooke memerintah Sarawak dari tahun 1841 sehingga 1946. Dari 1 Julai 1946 sehingga merdeka, Sarawak di bawah pemerintahan koloni Inggeris.

Keahlian
Keahlian Dewan juga mengalami perubahan. Bermula dengan hanya wakil daripada kaum Bumiputra sahaja yang dilantik menjadi ahli kemudian barulah wakil-wakil kaum cina.