Pengenalan


Perlembagaan Negeri Sarawak memperuntukkan Perundangan Negeri mestilah terdiri daripada Yang di-Pertua Negeri dan sebuah badan yang dikenali sebagai Dewan Undangan Negeri.

Pada 31 Ogos 1963, Sarawak menjadi sebuah negeri yang mempunyai sistem pemerintahan sendiri dengan sebuah kabinet yang dipilih. Enam belas hari kemudian iaitu pada 16 September 1963, Sarawak bersama-sama dengan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Singapura membentuk sebuah negara Malaysia.


Perkembangan lanjut terhadap perlembagaan dibuat pada tahun 1965 apabila Kabinet Negeri diperbesarkan untuk mengandungi seorang Ketua Menteri dan lapan orang Menteri, dan pada tahun 1968 jumlah keahlian Dewan ditambah menjadi 48 orang dengan pemansuhan terhadap Ahli Ex-Officio dan Ahli Yang dilantik.


Dewan kemudian diperbesarkan lagi pada tahun 1985 dengan jumlah Ahli seramai 56 orang yang dipilih secara terus oleh rakyat di kawasan - kawasan pilihanraya. Pilihanraya tahun 1996 menyaksikan satu lagi perkembangan apabila jumlah keahlian Dewan Undangan Negeri ditambah menjadi 62 orang, sekaligus menjadikan Dewan Undangan Negeri Sarawak dewan perundangan yang terbesar di Malaysia. Namun pada tahun 2006, keahlian Dewan Undangan Negeri bertambah lagi dan menjadikan jumlah mereka seramai 71 orang.




Kembali
Hakcipta Terpelihara @DUNSARAWAK2001